PETALING JAYA: Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad hari ini berkata umat Islam beraliran Syiah merupakan sebahagian daripada Islam, susulan seruan presiden partinya supaya pengikut Sunni dan Syiah bersatu mengatasi perbalahan mereka.
“Memang banyak pandangan Syiah itu berbeza dan tidak semua perbuatan mereka itu terkeluar daripada Islam,” kata Mahfodz kepada FMT.
“Pandangan peribadi saya, dengan apa yang saya belajar di Universiti Al-Azhar dahulu, Syiah termasuk dalam Islam. Walaupun ada mazhab Syiah yang nampak lain, tetapi tak boleh nak kata mereka sesat dan sebagainya,” kata Mahfodz.
Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata aliran Syiah tetap sebahagian daripada Islam, di sebalik pendirian rasmi agamawan Malaysia yang menganggap mazhab kedua terbesar Islam itu “sesat”.
“Kita tidak boleh dengan mudah mengkafirkan sesama Islam. Itu hanya menguntungkan pihak yang memusuhi Islam. Mereka tidak mengira sama ada anda Sunni, Syiah atau Wahabi,” katanya merujuk salah satu aliran yang menjadi ikutan rasmi di Arab Saudi.
Pandangan sedemikian berbeza daripada pendirian pihak berkuasa agama di Malaysia yang menganggap Syiah menyimpang daripada Islam. Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996 menyatakan Syiah sebagai ajaran “sesat” dan tidak boleh diamalkan.
Oleh: Faiz Zainudin